Maksudnya :
Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah akan lepaskan ia dari masalah hidup Dan diberikannya rezeki dari sumber yang tidak diduga. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan ( yang dikehendaki ) Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.
***************************************
Ayat 1000 dinar ini adalah sebahagian dari ayat kedua dan sebahagian dari ayat ketiga Surah At-Talaq. Ramai orang menganjurkan supaya mengamalkan ayat ini untuk memperolehi kejayaan atau keuntungan. Ramai peniaga menampalkan pelekat ayat 1000 dinar ini di premis perniagaan mereka, dengan harapan supaya perniagaan bertambah maju. Ramai pula yang menghafal ayat ini untuk dibaca dimasa-masa yang sesuai, seperti selepas solat.
Memang kita tidak boleh menafikan kelebihan ayat 1000 dinar. Malangnya, pendekatan sebahagian orang mengenai ayat ini, adalah sesat dan tidak betul. Jika kita lihat terjemahan ayat ini, ia mengandungi dua pengajaran iaitu supaya kita bertaqwa dan bertawakkal. Oleh itu, pendekatan yang betul untuk mengamalkan ayat 1000 dinar ini ialah dengan bertaqwa dan bertawakkal. Kenalah kita pelajari bab bertaqwa dan bertawakkal.
Kalau menampalkan pelekat ayat 1000 dinar ini di premis perniagaan, tapi solat tidak dikerjakan, amalan tidak jujur dalam perniagaan terus dibuat atau sebagainya, ini tidak bermakna kita mengamalkan ayat 1000 dinar. Tujuan menampalkan pelekat itu hanyalah sebagai cara supaya kita selalu beringat untuk bertaqwa dan bertawakkal. Begitu juga kalau kita baca ayat ini beribu-ribu kali dalam sehari, sedangkan kita tidak bertaqwa dan bertawakkal, itu juga bukan cara yang betul mengamalkan ayat 1000 dinar.
Semua orang mahukan rezeki yang banyak, mudah, berkat serta makmur. Dalam pekerjaan kita seharian mencari rezeki, mestilah sentiasa niatkan dalam hati supaya Allah mengurniakan kita dengan rezeki yang halal, berkat, mudah serta luas. Sebelum kita turun dari rumah menuju ke tempat kerja atau sebelum memulakan pekerjaan, mulakanlah dengan bismillah.
Selain melakukan pekejaan yang halal menurut hukum syarak, hendaklah kita melakukan pekerjaan dengan tekun dan bertanggungjawab, menepati masa (jika bekerja dengan majikan), dan jangan mengabaikan solat bila sudah masuk waktu solat. Mestilah bersegera menunaikannya barulah Allah menyegerakan sampainya rezeki. Satu perkara lagi, jangan mengamalkan tabiat mengeluh jika ada sesuatu kesukaran dan kepayahan, kerana itu adalah test dari Allah untuk meneguhkan jiwa kita. Jika kita mengeluh, maka adalah seolah-olah kita menganggap apa yang Allah takdirkan untuk kita itu tidak betul. Itu menunjukkan kita tidak redha dengan Allah. Bagaimana kita nak harapkan keredhaan Allah dan doa kita makbul sedangkan kita tidak redha pada ketentuan Allah.
Sebelum kita meminta apa-apa dari Allah, terlebih dahulu kita hendaklah bersikap syukur dengan apa-apa yang telah kita terima sebelum ini seperti udara, air, makan minum, pakaian, rumah, keluarga dan sebagainya. Kemudian barulah kita berniat untuk mendapat apa-apa tambahan dari Allah.
Walaubagaimanapun, disini ada beberapa petua untuk diamalkan supaya kita dapat murah rezeki, kalau bekerja lekas naik pangkat, kalau berniaga dapat untung yang banyak.
1. Bangun awal pagi sebelum masuk waktu subuh.
2. Amalkan solat sunat qobliyah subuh (2 rakaat sunat sebelum solat fardhu subuh).
3. Jangan abaikan solat wajib 5 waktu tidak ketinggalan solat jumaat (zaman sekarang ni ramai yang gagal dalam menunaikan solat jumaat. Tidak elok begitu, bukankah antara perkara yang digeruni orang kafir ialah bila melihat orang Islam berkumpul setiap minggu untuk bersolat jumaat. Tentulah ada sesuatu hikmat besar dalam solat Jumaat).
4. Amalkan membaca ayat 1000 dinar setiap kali selepas solat fardhu, sebelum pergi ke pejabat atau tempat kerja, dan sebelum tidur. Bacalah sebanyak 3 atau 5 atau 7 kali. Hanya orang-orang yang mengamalkannya yang dapat memperihalkan kemujaraban ayat ini. Subhanallah..
5. Mengeluarkan zakat serta bersedekah kepada fakir miskin.
6. Menjaga makan minum supaya jangan bercampur dari sumber yang haram dan syubhat, agar doa mudah dikabulkan Allah.
7. Sentiasa berterima kasih pada Allah atas apa-apa yang kita miliki. Sesiapa yang bersyukur nescaya Allah tambahkan lagi nikmat (sesiapa yang kufur nescaya azab pedih menanti di alam kubur).
8. Sebelum tidur selepas membaca doa (doa sebelum tidur), berselawat keatas Nabi dan beristighfar serta memohon keampunan untuk seluruh kaum muslimin dan muslimat.
**********************
Sejarah
Ayat 2 dan 3 surah at-Tolaq atau lebih dikenali sebagai ayat 1000 dinar merupakan amalan yang masyhur dalam hal berkaitan kerezekian serta perlindungan diri. Ramai orang mengamalkan ayat ini untuk tujuan meminta agar Allah mengurniakan kemurahan rezeki, kemudahan dan penyelasaian masalah. Sesiapa yang berminat bolehlah mengamalkannya tetapi haruslah secara berterusan. Namun ayat ini ada kisahnya.
Pada zaman dahulu ada seorang pedagang lelaki yang bermimpi didatangi nabi Khaidhir. Pedagang itu kemudian diperintahkan untuk bersedekah wang sebanyak 1000 dinar. Setelah tiga kali mengalami mimpi yang sama pedagang itu mula berfikir bahawa mimpi yang beliau alami itu adalah benar. Sesuai seperti yang diperintahkan, pedagang itu pun bersedekah wang sebanyak 1000 dinar. Setelah itu, sekali lagi pedagang tersebut bermimpi bertemu nabi Khaidhir. Lalu nabi Khadhir pun mengajarkanlah akan pedagang itu ayat 2-3 surah at-Tolaq untuk diamalkan. Lalu beramallah pedagang dengan ayat berkenaan.
Sehinggalah pada suatu hari pedagang tersebut ingin pergi berdagang ke suatu tempat yang lain dengan menggunakan jalan laut iaitu menaiki kapal. Di tengah pelayarannya datang angin taufan yang sangat dahsyat. Apa yang boleh dilakukan oleh pedagang itu hanyalah bertawakkal pada Allah sambil terus menerus membaca akan ayat yang telah diajarkan nabi Khaidhir. Akhirnya kapal yang beliau naiki pecah dipukul ombak, semua penumpangnya kembali ke alam baqa kecuali pedagang tersebut. Apabila telah reda angin taufan yang melanda, beliau mendapati dirinya terdampar di tepi pantai sebuah negeri, bersama barang dagangannya yang tidak rosak walau sedikitpun. Sambil menadah tangan mengucapkan syukur ke hadhrat Allah, beliau sedar dan insaf akan kebesaran ayat yang diamalkannya itu. Lalu padagang itu mengambil keputusan untuk tinggal di negeri tersebut.
Tinggallah lelaki itu di negeri yang baru, berdagang dan berniaga dengan penduduk negeri, disamping terus mengamalkan membaca ayat 2-3 surah at-Tolaq, sehinggalah beliau diangkat menjadi raja di negeri tersebut (rezeki yang tidak disangka-sangka). Begitulah kisahnya, sehinggalah sekarang ini ayat yang diajar Khaidhir itu digelar ayat 1000 dinar.
Kekeliruan:
Ayat 1000 dinar adalah antara ayat yang mempunyai makna dan pengertian yang hebat. Ramai orang melayu menampalkan ayat ini di kedai-kedai makan mereka denga harapan dimurahkan rezeki dan dimudahkan urusan mereka. Malangnya ayat ini hanya ditampal tanpa difahami dan diteliti maksudnya. Apatah lagi untuk diamalkan. Malah jika ditanya sendiri pemilik kedai tentang ayat apakah itu? Mereka cuma menjawab..'Tak tahu, orang lain tampal,saya tampallah'. Sungguh memilukan. Sememangnya makna ayat ini menunjukkan sifat maha pemurah Allah SWT kepada hambanya. Tetapi kita perlu ingat, ayat ini untuk orang yang bertaqwa dan bertawakkal. Jika tiada sifat ini dalam jiwa manusia, kita akan jauh dari sifat maha pemurah Allah SWT. Justeru hanya dengan menampal ayat itu di kedai mahupun di rumah tanpa ada usaha untuk mengamalkan suruhan ayat ini amatlah merugikan. Signifikan kita menampal ayat sebegini di kedai atau dirumah adalah untuk mengingatkan kita dengan perintah Allah, tetapi kini menampal kalimah Allah di rumah dan di kedai hanyalah kerana kebiasaan dan hiasan..Maka amat rugilah kita.
Barangsiapa mengamalkan ayat ini insya-Allah akan:
1. Memperoleh kemurahan rezeki yang tidak disangka-sangka.
2. Mendapat jalan keluar dari segala masalah dan kesulitan.
3. Mendapat perlindungan dari segala musibah dan bala bencana seperti peperangan, kezaliman dan bencana alam.
4. Jika berperang insya-Allah tidak akan cedera atau binasa kecuali telah sampai ajal.
5. Allah akan menyampaikan segala hajat dan memberi kemudahan dalam setiap urusan.
Saranan:
Sebagai seorang yang sedang belajar, kita tidak lepas daripada menghadapi pelbagai cabaran dan ujian. Maka amat sesuailah pengamalan ayat ini dalam sebagai penguat semangat menghadapi segala ujian. Berdoa semoga Allah SWT memberikan ketenangan, kekuatan dan jalan untuk menghadapi masalah dengan sabar dan tabah. Dalam kita membina sifat ketaqwaan, kita akan selalu diuji dan disitulah kita akan mendapat kekuatan untuk menghadapi hari mendatang dengan kekuatan yang Allah SWT berikan. Kita disarankan berusaha dan akhirnya bertawakkal kepada Allah SWT sebagai langkah terakhir dalam amalan kita. Kerana hanya Allah SWT sahaja yang akan memperkenan segala amalan di muka bumi ini. Ini akan membendung sifat tidak puas hati, marah, kesal, geram dan benci selepas melakukan sesuatu amalan. Kita akan merasa tenang, gembira dan selesa dengan segala yang telah diusahakan walau apa jua hasilnya kerana kita percaya itulah yang Allah SWT kehendaki untuk kita. Kerana kebergantungan kita kepada Pencipta, kita akan faham sejauh mana kemampuan manusia itu dan terus berusaha untuk lebih berjaya di samping mengharap keredhaan Allah SWT dalam setiap amalan. Sifat pemurah Allah SWT tiada hadnya, sebagai manusia kita perlu sentiasa takut(khauf) dan berharap(roja') kepada Allah dalam setiap kelakuan di dunia ini. Semoga kita dilindungi Allah SWT daripada anasir-anasir kejahilan yang merosakkan kefahaman kita tentang konsep ketuhanan. Semoga Allah membantu saya untuk tidak hanya pandai berkata-kata. Tetapi melakukan apa yang telah dikatakan. Allah SWT akan menguji tentang apa yang telah kita perkatakan. Ya Allah...bantulah sekalian hambaMu...
0 comments:
Post a Comment