Tq So Much Dear...

"Diam Bukan Tanda Setuju. Marah Bukan Tanda Benci. Senyum Bukan Tanda Gembira. Tertawa Bukan Tanda Sedang Bahagia. Muram Bukan Tanda Berduka. Menangis Bukan Tanda Merana. Kadangkala Perasaan Sukar Untuk Diungkapkan. Apakah Yang Diimpikan Bisa Menjadi Kenyataan. Aku Cuma Ingin Bahagia Dalam Kehidupan Dunia & Akhirat Bersama Insan Tersayang. Ya Allah, Tabahkanlah Hatiku, Kuatkanlah Imanku, Tunjukkanlah HidayahMu, Sinarilah Jalan Yang Bakal Ku Lalui Dengan Nur & RahmatMu, Bimbingilah Aku Ke Jalan Yang Di Redhai OlehMu"
Segala yang terkandung di dalam blog ini adalah untuk peringatan dan rujukan Ninie untuk masa sekarang dan juga hadapan. Almaklumlah... ada masanya kita terlupa dan ini adalah medium untuk mengigatkan diri ini kembali. Info kebanyakkannya adalah dari 'search engine' dan di satukan sekali dalam entry jika ianya berkaitan. Mohon maklumkan pada Ninie jika ada diantaranya adalah ‘tulen’ milik anda untuk diberi 'kredit'.... Alhamdulillah jika ada info² disini dapat memberikan manafaat buat anda yang berkunjung di sini.

9/9/13

Menipu @ Berbohong? DiBolehkan @ Tidak?

Setiap insan pasti akan merasa kecewa, terluka, hampa dsb jika merasa / benar2 dibohongi oleh seseorang samada rakan2, adik beradik, saudara mara, dan sesiapa sahaja.... Tapi mengapakah mereka berbohong? Jika difikir ke arah positif, mungkin kita dibohongi supaya :
Kita tidak terlalu risau,
Kita tidak akan marah2
Jiwa kita tenteram
Kita mempunyai penyakit

WALAUPUN pada prinsipnya, berbohong hukumnya haram, tetapi dalam keadaan tertentu, Islam memberikan kelonggaran. Namun, ia bukan dalam konteks yang terlalu ketat.

Rasulullah SAW ada menyatakan, seseorang yang berbohong dengan niat ingin mendamaikan orang lain atau untuk tujuan kebaikan dalam masyarakat, dia tidak dikira berbohong.

Dalam suatu riwayat, Ibnu Kalsum berkata, beliau tidak pernah mendengar Rasulullah SAW memberi kelonggaran untuk bercakap dalam hal yang tidak betul, kecuali dalam tiga perkara :

1) Ketika peperangan
2) Untuk mendamaikan anggota masyarakat atau organisasi yang bertelagah
3) Dalam perhubungan suami isteri

Dari Ummu Kalsum binti ‘Uqbah r.a., sesungguhnya ia mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Bukanlah termasuk pendusta orang yang mendamaikan manusia. Ditambahnya yang baik atau dikatakannya yang baik.” (Hadis riwayat Bukhari)

Umat Islam pada hari ini masih lagi terumbang-ambing, lemah, miskin dan berpecah belah meskipun Islam sesungguhnya amat menggalakkan perpaduan, kesatuan, persefahaman dan keharmonian dalam kehidupan sejagat.

Dalam erti kata lain, Islam melarang umatnya bergaduh, berperang apalagi bertengkar sesama sendiri sehingga melibatkan perbuatan mencederakan, membunuh dan sebagainya.

Inilah sebabnya mengapa Islam memuliakan seorang manusia yang berusaha untuk mendamaikan orang yang bertelagah meskipun terpaksa dilaksanakan dengan cara menipu (perkara yang harus) demi menjalinkan semula ikatan persaudaraan tersebut agar keadaan kembali menjadi aman dan damai.

Begitu juga untuk menjaga akidah, sekiranya seseorang dipaksa untuk mengucapkan sesuatu yang berlawanan dengan akidah, maka dia boleh berbohong. Namun, pembohongan itu dengan syarat, hatinya tetap dalam Islam.

Hal ini mengingatkan kita kepada kisah yang menimpa Ammar Yassir yang terpaksa mengaku kembali menyembah berhala apabila dia diseksa teruk dan selspas melihat ibunya Sumayyah dan bapanya, mati ditikam Abu Jahal kerana mempertahankan akidah.

Rasulullah SAW ketika ditanya mengenai kedudukan Ammar selepas itu, menyatakan bahawa Ammar tetap terpelihara akidahnya kerana dia dipaksa berbuat begitu dan hal itu di luar kerelaannya.

Berkata Imam an-Nawawi yang mengulas hadis ini, “Hadis ini dengan jelas telah mengharuskan beberapa bentuk pendustaan jika ada maslahah/kepentingan. Para ulama telah membuat batasan bagi pembohongan yang diharuskan.

Batasan yang terbaik ialah yang dikemukakan oleh Imam al-Ghazali yang menjelaskan; percakapan ialah jalan untuk mencapai maksud-maksud tertentu. Jika suatu maksud yang baik dapat dicapai dengan berkata benar, tidak harus lagi berdusta kerana pendustaan tidak diperlukan ketika itu.

Namun jika maksud yang baik itu tidak ada cara untuk mencapainya melainkan dengan berbohong, maka ketika itu berbohong adalah harus jika maksud yang ingin dicapai itu hukumnya adalah harus. Jika maksud itu wajib, maka berdusta ketika itu juga wajib (kerana tidak ada cara lain lagi untuk mencapainya).

Contohnya ada seorang muslim bersembunyi dari seorang lelaki zalim dan kita mengetahui tempat persembunyiannya.

Kemudian si zalim itu bertanya kita tempat lelaki muslim itu bersembunyi. Ketika itu wajib kita berbohong (yakni tidak harus kita bercakap benar dengan memberitahunya).

Contoh lain kita ada menyimpan barang milik seseorang muslim, lalu ditanya tentangnya oleh seorang zalim yang ingin merampasnya, maka wajib kita berdusta untuk menyembunyikannya (bagi mengelak ia dirampas).

Malah kata Imam al-Ghazali, jika kita memberitahu si zalim itu dan barang itu dirampasnya, wajib kita menggantikannya.

Namun langkah yang lebih berhati-hati ialah dengan kita melakukan at-Tauriyah iaitu berselindung, yakni tidak secara terang-terangan berdusta/berbohong.

Maksud at-Tauriyah ialah kita bercakap dengan bahasa yang zahirnya nampak macam berdusta, tetapi secara terselindung (yakni biat di hati) kita tidak berdusta.

Bagi kes hubungan suami-isteri, maksud keharusan berdusta/berbohong ialah dalam menzahirkan kasih-sayang, berjanji sesuatu yang tidak lazim/mesti (ditunaikan) atau sebagainya. Sebagai contohnya; apabila isteri bertanya suami; sedap atau tidak masakannya? Suami pun menjawab; “sedap”, walhal sebenarnya tidak sedap. Jawapan itu bertujuan menjaga perasaan isteri walaupun sumai sebenarnya berbohong. Berbohong sebegitu tidaklah dicela kerana tujuannya untuk mengekalkan kasih-sayang. Adapun melakukan penipuan/pembohongan untuk mengelak dari tanggungjawab/kewajipan terhadap pasangan masing-masing atau untuk merampas haknya secara batil, maka ia adalah haram dengan ijmak para ulamak. (Lihat; Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi)

Wallahu a’lam.

********************************************

Realiti yang tidak dapat dinafikan pada zaman ini kebanyakan orang terpaksa hidup dalam kepura-puraan. Kononnya kerana untuk jaga hati kawan, isteri, malah pemimpin mereka terpaksa berbohong dalam istilah yang dinamakan “bohong sunat”.

Sebenarnya persoalan ini jika dilihat dalam konteks pentadbiran sesebuah kerajaan, pembohongan ini termasuk dalam strategi politik. Lazimnya dalam istilah kampung ia dikatakan helah atau taktik.

Seorang menteri atau wakil rakyat misalnya sewaktu menjawab permasalahan rakyat, dia jarang mengatakan tidak boleh atau menolak permintaan secara terang-terang. Sebaliknya jawapan yang diberi cukup menyenangkan hati rakyat.

“Datuk, jambatan tempat kami sudah kelihatan uzur, bolehkah datuk mempercepatkan baik pulihnya, lagipun kami dah lama memohon?” mohon rakyat.

“Tentang jambatan itu, masih dalam pertimbangan, saya berjanji akan cuba percepatkan,” jawab Menteri itu.

Jelas jawapan menteri itu sekadar menenangkan hati rakyat di penempatan itu, padahal yang sebenarnya persoalan jambatan itu belum dimasukkan lagi dalam agenda mesyuarat kabinet. Inilah strategi orang politik.

Kalau dalam rumah tangga, kadang-kadang anak meminta sesuatu dari ayah yang perkara itu tidaklah mustahak sangat. Namun si ayah tidak menolak permintaan itu, sebaliknya berkata ayah, “akan difikirkan kemudian”.

Begitu juga yang berlaku dalam masyarakat baik di kampung mahupun di bandar, seseorang terpaksa berhadapan dengan jiran yang pelbagai kerenah. Kalau jiran itu baik sudah tentu dia menyenangkan kita, tetapi terdapat juga jiran yang langsung tidak berbudi bahasa.

“Malamni jemput ke rumah, saya buat kenduri arwah sedikit,” kata seorang penduduk di taman itu.

“Tengoklah kalau saya sempat balik, sebab ada kerja di luar hari ini,” jawab jirannya.

Sebenarnya cakap-cakap seperti di atas pada orang Melayu ialah “bohong sunat” atau “cakap berlapik”. Berdasarkan konsep sunat itulah sebahagian besar masyarakat Melayu menggunakannya secara berleluasa.

Persoalannya, benarkah wujud “bohong sunat” dalam Islam? Logiknya, kalau bohong pada dasarnya haram bagaimana pula boleh jadi sunat? Jelasnya istilah tersebut tidak tepat pada konsepnya.

Sebenarnya, pembohongan dalam konteks di atas diharuskan selagi bertujuan baik. “Harus” dalam Islam bermaksud boleh dilakukan dan boleh ditinggalkan dan tidak akan dicatatkan pahala atau dosa. Jadi, pembohongan dalam keadaan di atas tidak berdosa dan tidak pula berpahala.

Sungguhpun begitu, kesan pembohongan itu tetap akan diambil kira oleh Allah S.W.T. Maka jika natijahnya mendorong kepada keburukan maka seseorang yang berbohong itu tetap berdosa. Sebaliknya jika kesannya menjurus ke arah kebaikan, pasti dia akan beroleh pahala pula.

Merujuk kepada tiga kes di atas, menteri yang berjanji itu mungkin beroleh pahala jika rakyat boleh berasa tenang dan dapat melakukan kerja dengan baik. Manakala menteri itu akan beroleh pahala yang lebih besar lagi kalau projek yang dicadangkan itu terlaksana juga akhirnya.

Sebaliknya jika menteri itu sudah berniat untuk menipu rakyat kampung itu, rakyat pula terasa penipuannya maka menteri itu tetap berdosa. Malah sikap menteri berkenaan lambat laun akan terdedah kepada pengetahuan umum, lalu dibenci rakyat jelata.

Sikap bapa dan anak dalam contoh di atas, boleh dilihat di sudut didikan. Ayah yang hendak mempertimbangkan semula permintaan anaknya tentu boleh menggembirakan hati anaknya. Tetapi jika ayah itu tidak dapat menunaikan permintaan itu, sebaliknya cuba mencari alternatif lain. Ketika itu si ayah mendapat dosa.

Begitu juga dengan kes jiran di atas. Tetapi jika jiran itu menipu hanya kerana tidak mahu menghadiri kenduri jirannya suatu tindakan yang salah. Pembohongannya dalam kes itu suatu dosa yang tidak boleh dimaafkan.

Walau bagaimanapun jika jiran yang membuat kenduri itu memang tidak bermasyarakat, tetapi cuba berbuat baik dengan jirannya hanya ketika memerlukan masyarakat, maka dia wajar diajar seperti di atas. Pembohongan yang dibuat itu hakikatnya untuk mengajar jirannya tentang erti hidup bermasyarakat.

Dalam Islam, jaga hati jiran memang penting tetapi jangan kerananya kita terpaksa berbohong. Pastikan apa yang hendak dilakukan itu membawa kesan yang positif semoga dengan itu kita beroleh pahala.

Artikel : Ustaz Ahmad Baei Jaafar
baei.blogspot.com

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...