Tq So Much Dear...

"Diam Bukan Tanda Setuju. Marah Bukan Tanda Benci. Senyum Bukan Tanda Gembira. Tertawa Bukan Tanda Sedang Bahagia. Muram Bukan Tanda Berduka. Menangis Bukan Tanda Merana. Kadangkala Perasaan Sukar Untuk Diungkapkan. Apakah Yang Diimpikan Bisa Menjadi Kenyataan. Aku Cuma Ingin Bahagia Dalam Kehidupan Dunia & Akhirat Bersama Insan Tersayang. Ya Allah, Tabahkanlah Hatiku, Kuatkanlah Imanku, Tunjukkanlah HidayahMu, Sinarilah Jalan Yang Bakal Ku Lalui Dengan Nur & RahmatMu, Bimbingilah Aku Ke Jalan Yang Di Redhai OlehMu"
Segala yang terkandung di dalam blog ini adalah untuk peringatan dan rujukan Ninie untuk masa sekarang dan juga hadapan. Almaklumlah... ada masanya kita terlupa dan ini adalah medium untuk mengigatkan diri ini kembali. Info kebanyakkannya adalah dari 'search engine' dan di satukan sekali dalam entry jika ianya berkaitan. Mohon maklumkan pada Ninie jika ada diantaranya adalah ‘tulen’ milik anda untuk diberi 'kredit'.... Alhamdulillah jika ada info² disini dapat memberikan manafaat buat anda yang berkunjung di sini.

2/10/11

Kuasa Perempuan


KUASA LAYANAN PEREMPUAN
Kaum lelaki mudah goyah dan alah dengan layanan yang baik, apa lagi dari perempuan yang sangat dikasihi seperti isteri dan ibu. Layanan baik yang disalurkan kepada orang yang berhak menerimanya, bukan sahaja mendatangkan keredhaan Allah tetapi memungkinkan apa yang diminta akan dipenuhi dengan mudah.


KUASA DOA PEREMPUAN
Doa perempuan lebih makbul dari lelaki kerana sifat penyayangnya lebih kuat dari lelaki. Sebagaimana hadis Rasulullah saw: "Doa ibu itu lebih cepat makbul." Orang bertanya:"Kenapa ya Rasulllah?" Jawab baginda : "Ibu lebih penyayang dari bapa dan doa dari orang yang penyayang tidak akan sia-sia."


KUASA TAQWA PEREMPUAN
Ketaqwaan adalah kuasa paling sempurna dan terbaik dalam menangani apa jua masalah. Orang yang paling bertaqwa adalah orang yang paling dikasihi Allah. Allah tidak akan membiarkan orang yang dikasihiNya melainkan dipelihara serta sentiasa dirahmatiNya.

Kuasa taqwa lebih mudah diperolehi oleh perempuan berbanding lelaki kerana kehalusan budi yang ada pada perempuan adalah merupakan penjara daripada melakukan hal-hal yang mendatangkan dosa. Berbanding lelaki yang sebahagian hidupnya berada di luar rumah serta terdedah kepada pelbagai godaan, cubaan dan ujian.

Kekuasaan taqwa ini pula adalah kemuliaan yang diberikan oleh Allah swt sehingga setiap lelaki pasti memerlukan perempuan untuk menghirupkan udara ini atau dalam perkataan lain setiap lelaki pasti dilahirkan oleh perempuan kecuali Nabi Adam a.s. Sekuat-kuat lelaki, kuat lagi perempuan kerana lelaki itu sendirinya datang dari perut perempuan yang menghamilkannya dan melahirkannya ke dunia, kemudian melatih, mendidik, memelihara dari kecil hingga dewasa.

Kemuliaan perempuan akan lebih nyata, jika ditambah dengan ketaatan kepada kaum lelaki yang berhak atasnya sebagaimana maksud hadis Rasulullah saw: "Perempuan yang taat kepada suaminya, semua burung di udara, ikan di air, malaikat di langit, matahari dan bulan : semuanya beristighfar baginya (isteri) selagi mana ia masih taat kepada suaminya dan diredhainya (serta menjaga solat dan puasannya.

2/7/11

Payapa? Eh Papaya @ Buah Betik....





Betik merupakan tumbuhan yang banyak terdapat di ASEAN. Tumbuhan ini berasal dari Mexico Selatan, namun kini pokoknya ditanam di hampir semua negara beriklim tropika. Nama saintifiknya Carica papaya.

Pokok betik ini menghasilkan buah yang boleh dimakan. Buah betik banyak dijual di pasar-pasar, termasuk pasar tani, dan pasar sayur. Pucuk betik sering dicelur untuk dijadikan ulam dan dimakan bersama sambal belacan.

Betik kaya dengan vitamin A (kulitnya) juga kalium. Selain itu terdapat kalsium, besi, tiamin, riboflavin dan niasin dalam betik. Jumlah kalorinya sangat rendah. Nutrien -nutrien penting yang terkandung dalam betik, menjadikan tumbuhan ini mempunyai nilai-nilai perubatan yang tersendiri.

Buah betik yang ranum kaya dengan vitamin C, mempunyai kandungan serat yang tinggi. Betik juga boleh dimakan bagi melawaskan perut bagi sesiapa yang mempunyai masaalah sembelit.


Kandungan papain dalam daun juga amat berkesan untuk melembutkan daging. Masyarakt Mexico menggunakan daun betik bukan sahaja untuk melembutkan daging, tetapi juga dijadikan ubat untuk asma dan masalah jantung. Bagaimanapun jika penggunaan daun terlalu banyak ia boleh jadi berbahaya kerana ia boleh menghasilkan toksik.

Betik dari varieti yang berlainan berbeza dari segi saiz, rupa bentuk dan rasa. Secara puratanya, ia berukuran antara 7- 60 cm dan boleh mencapai berat sehingga 9 kg. Berdasarkan kepada rupa bentuk dan saiz, betik yang popular di negara-negara ASEAN boleh dibahagikan kepada 3 kumpulan. Kumpulan pertama terdiri dari varieti yang menghasilkan buah yang besar dan panjang bujur seperti Subang, Sitiawan dan Batu Arang. Buah daripada jenis ini mempunyai berat dalam lingkungan 1-3 kg tetepi kualiti buah dikatakan tidak begitu baik. Manakala kumpulan kedua terdiri dari varieti yang baru diperkenalkan seperti Solo dan Eksotika. Buah dari varieti ini adalah lebih kecil, berbentuk bulat, mempunyai mutu yang lebih tinggi dan berpotensi untuk pasaran antarabangsa.

Buah yang masak selalu dimakan segar sebagai pencuci mulut. Betik yang masak juga boleh dijadikan jem, jus ( untuk minuman ), perisa untuk aiskrim dan puding, halwa dan sos. Betik matang yang belum masak boleh juga dijeruk atau dimasak sebagai sayur. Betik juga mengeluarkan sejenis enzim yang dikenali sebagai enzim papain.Papain banyak digunakan dalam penyediaan makanan, khususnya untuk melembutkan daging dan penyediaan ‘chewing gum’. Walau bagaimanapun, di negara-negara ASEAN potensi industri papain masih belum diterokai sepenuhnya. Buat masa ini, pengeluar papain secara komersil hanya terdapat di Filipina.

Sumber : Wikipedia

Antaranya khasiat Betik:


1) Buah.
Selain mengandungi kalium dan magnesium yang sangat tinggi, buah ini juga kaya dengan karotena, vitamin C, dan flavonoid, sehingga dapat berfungsi memecahkan serat makanan sisa, sehingga mudah kita untuk membuang air besar. Jika dimakan segar secara rutin, buah betik sangat bermanfaat untuk mengubati usus yang luka dan mengurangkan panas tubuh ketika deman.


2) Daun
Bagi yang suka, daun betik sangat enak dibuat sayur dan ulam. Memang rasanya agak pahit tetapi tengok saja manfaatnya yang luar biasa, seperti mengubati malaria, sakit perut dan kurang nafsu makan. Caranya: Ambil daun betik segar sebanyak 1-2 tapak tangan, garam sedikit, dan air suam 1/2 cawan. Campuran ini dipipis atau dikisar, lalu diperah dan diambil airnya. Diminum sehari satu sehingga tiga hari berturut-turut. Kandungan papain dalam daun juga amat berkesan untuk melembutkan daging. Masyarakt Mexico menggunakan daun betik bukan sahaja untuk melembutkan daging, tetapi juga dijadikan ubat untuk asma dan masalah jantung. Bagaimanapun jika penggunaan daun terlalu banyak ia boleh jadi berbahaya kerana ia boleh menghasilkan toksik.


3) Biji
Dikatakan amat berkesan untuk megubati masalah cacing dalam perut. Caranya: Jemur biji betik hingga kering, lalu tumbuk hingga halus. Ambil serbuk ini sebanyak 10 gram dan didihkan bersama 150ml air, sehingga tinggal kira-kira 75 ml. Minum sekali gus 2 jam sebelum makan malam.


4) Getah dan akar
Dapat mengubati sakit saluran kencing, masalah cacingan, bahkan digigit ular berbisa. Untuk ubat cacing,gunakan akar betik kering sebanyak 10 gram, bawang putih 1 gram, dan 100 ml air. Semua bahan dipotong-potong, kemudian didihkan dengan air selama 15 minit, baru disaring. Bila perlu, tambahkan air matang sehingga diperoleh hasil saringan 75 ml. Bahagikan kepada tiga bahagian (25 ml) sekali minum.

Getah betik juga boleh menghilangkan ketuat. Caranya : ambil getah daripada pelepah betik yang dipetik terus daripada pokok betik. sapukan getah itu pada ketuat dan bairkan hingga ia kering. amalkan setiap hari. ketuat akan kering, mengecil dan gugur dengan sendirinya.

Antara lain khasiat lain betik :
* Makan buah betik boleh memudahkan proses penghadaman dan mengelakkan sembelit.
* Daun betik terutama pucuknya yang muda sering direbus untuk dijadikan ulam. Selain itu, air rebusan daun betik dapat melegakan perut dengan mengeluarkan segala angin.
* Jika memanggang daging yang dibalut dengan daun betik, ia dapat melembutkan daging tersebut.
* Bagi merawat masalah kulit seperti jerawat dan masalah kedutan, hancurkan buah betik tersebut. Kemudian tampalkan di tempat yang bermasalah setengah jam sebelum mandi.




Kandungan Zat / 100 gm
Tenaga 59.0 kal
Lembapan 84.4 %
Protin 1.0 gm
Lemak 0.1 gm
Kabohidrat 13.5gm
Serat 0.5 gm
Abu 0.5 gm
Kalsium 31.0 mg
Magnesium 0.8 mg
Posporus 17.0 Mg
Besi 1.0 mg
Sodium 2.0 mg
Potasium 337.0 mg
Vit B1 0.08 mg
Vit B2 0.12 mg
Niacin 0.1 mg
Asid Ascobic (Vit C) 69.3 mg
Karotin 2431 ug
R. E 405 ug





Bunga Pokok Betik Betina (Kompem jadi buah betik selalunya)





Pokok Betik Jantan





Close-up Bunga Pokok Betik Jantan



Nota Si Mama Comel : Buah kegemaran anak2 perempuan Mama...

GEGAR 1,000 BLOG OLEH BEN ASHAARI


SAYA SOKONG DUNIA BLOG dan SAYA SUKA KERANA SAYA MINAT MENULIS DAN MEMBACA BLOG ! ANDA BAGAIMANA ??




JOM GEGAR...
TUTUP : 9 / 2 / 2011 , tepat jam 6 petang ... Bagaimana ? Berani ??

Klik Banner di atas ye... @ boleh gak KLIK SINI

2/6/11

Betapa Pentingnya Solat Istikharah Dalam Kehidupan Harian Kita



Oleh: Ismail Abu Bakar

Bila di sebut sahaja Solat Istikharah kebanyakan di kalangan kita hanya terkenangkan ketika hendak memilih jodoh. Ia begitu sinonim sekali dalam membuat keputusan untuk memilih bakal teman hidup tidak kira bagi lelaki atau perempuan. Perkara ini mungkin berlaku kerana penekanan di kalangan sesetengah Ustaz dalam soal istikharah ini dikaitkan dengan memilih jodoh sahaja.

Sebenarnya amalan Solat Sunat Istikharah ini skopnya lebih luas. Kita kadang-kadang tidak diberikan peringatan dalam soal ini. Sedangkan amalan Solat Istikharah ini sangat-sangat di galakkan oleh Rasulullah sebagaimana disebut dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari;

Mahfum Hadis:

Dari Jabir ra., ia berkata: "Nabi pernah mengajarkan kepada kami Istikharah dalam berbagai urusan, seperti mengajarkan sebuah surah dalam Al Quran. Kalau seseorang dari kamu menghendaki sesuatu, maka hendaklah ia solat dua rakaat, kemudian berdoa:

“Ya Allah! Aku mohon pemilihan Mu menerusi pengetahuan Mu dan aku mohon kekuatan Mu menerusi kudrat Mu serta aku minta pada Mu sebahagian dari limpah kurnia Mu yang sangat besar. Sesungguhnya Engkau amat berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa, Engkau amat mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan sesungguhnya Engkau amat mengetahui segala yang ghaib. Ya Allah kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini adalah baik bagiku dalam urusan agama ku juga dalam urusan penghidupan ku serta natijah pada urusan ku, kini dan akan datang, maka tetapkan lah ia bagi ku dan permudahkanlah ia untukku, serta berkatilah daku padanya. Dan kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini membawa kejahatan kepadaku dalam urusan agamaku, juga dalam urusan penghidupanku dan natijah urusanku, kini dan akan datang, maka elakkanlah ia dariku dan tetapkanlah kebaikan untukku sebagaimana sepatutnya, kemudian jadikanlah daku meredhainya”

Betapa pentingnya Solat Istikharah ini sebagaimana pentingnya kita mempelajari al-Quran.

Sebagai satu iktibar dan renungan penulis ingin berkongsi beberapa contoh kisah benar yang berlaku di kalangan sahabat-sahabat yang terlupa mengamalkan solat istikharah. Nama dalam kisah ini bukan nama sebenar.

Kisah-1
Setelah berpindah randah dari satu rumah sewa ke rumah sewa, akhirnya tergerak hati Salim untuk memiliki rumah sendiri. Lalu dia melihat iklan di surat khabar dan berkenan dengan tawaran rumah yang agak munasabah harganya. Rumah tersebut masih belum dibina lagi tetapi pihak pemaju telah menawarkan pakej jualan yang istimewa. Pihak pemaju perumahan memberi jaminan rumah tersebut akan siap dalam masa dua tahun. Salim berminat dengan rumah tersebut lalu terus membelinya. Kini lima tahun telah berlalu, projek perumahan itu telah terbengkalai kerana pemaju telah bankrupt. Salim terpaksa membayar ansuran bulanan hutang kepada bank walaupun rumah yang diidamkan masih tidak wujud.


Kisah-2
Abu dan Salmah telah berkahwin selama 4 tahun. Mereka dikurniakan dengan dua orang cahaya mata. Anak yang sulung telah berumur 3 tahun dan yang kedua masih 8 bulan. Mereka berasa agak susah hendak ke sana kemari kerana hanya memiliki motosikal. Satu hari Salmah mencadangkan kepada Abu untuk membeli kereta. Abu lalu terus pergi ke Perodua Show room untuk melihat-lihat kereta. Dia berkenan dengan model Kelisa lalu terus membelinya. Selang sebulan keretanya kena curi. Dah enam bulan berlalu keretanya masih tidak ditemui, tetapi dia masih membayar ansuran bulanan dengan pihak bank kerana pampasan yang pihak insurans bagi tidak mencukupi untuk melangsaikan bayaran baki hutang dengan pihak bank.


Kisah-3
Munirah akhirnya terpikat dengan pujukan rakan satu ofisnya Hafsah untuk melabur dalam satu skim pelaburan di internet. Dia akhirnya mengeluarkan sehingga RM10,000 untuk pelaburan tersebut. Dua tahun telah berlalu duit pelaburannya lesap tak nampak bayang.


Kisah-4
Rashid dan Zakiah telah mempunyai tiga orang anak. Mereka bercadang untuk mengambil pembantu rumah Indonesia. Mereka pergi ke agensi pembantu rumah dan terus memilih seorang pembantu rumah yang terdapat dalam senarai biodata. Selang dua bulan pembantu rumah pun sampai dan berkhidmat kepada mereka seperti yang dijangkakan. Tiga bulan berlalu tiba-tiba pada satu hari didapati pembantunya telah lari dari rumah.

Kisah yang dipaparkan di atas adalah kisah benar di mana penulis sendiri bertanya kepada mereka adakah mereka telah melakukan Solat Istikharah sebelum memilih atau membuat keputusan. Mereka kata langsung tak terfikir hendak melakukannya.

Dalam contoh yang lain pula penulis ingin berkongsi dengan satu kisah yang disampaikan kepada penulis seperti berikut;

Kisah -5
Iskandar berumur 40 tahun telah berkahwin dan mempunyai enam orang anak. Suatu hari dia mendapat telefon dari kawan baiknya Jaafar. Jaafar hendak memberikan satu hadiah istimewa kerana jasa Iskandar yang telah menyelesaikan masalah keluarganya. Jaafar hendak menawarkan kepadanya perbelanjaan pakej menunaikan haji untuk suami isteri ditanggung sepenuhnya iaitu RM15,000 setiap orang. Hati Iskandar gembira bukan kepalang kerana sudah lama dia mengidam untuk menunaikan haji. Lagipun duit simpanan dalam tabung hajinya baru RM3000. Iskandar tidak terus menerima hadiah tersebut sebaliknya dia memberi tempoh tiga hari untuk membuat keputusan. Iskandar melakukan Solat Istikharah tiga malam berturut-turut. Pada hari keempat dia berjumpa Jaafar mengatakan dia sangat berat untuk menerima hadiah tersebut. Dia mengatakan ingin pergi menunaikan haji dengan duit pendapatan sendiri. Jaafar agak kecewa, dipujuknya namun Iskandar tidak terima juga. Selang dua bulan selepas itu baru Iskandar mendapat tahu duit yang hendak diberikan kepadanya itu adalah dari duit riba iaitu interest bank konvensional akaun simpanan tetap Jaafar. Jaafar telah tersalah sangka. Disangkanya bahawa duit riba boleh dihadiahkan kepada orang lain tetapi tidak boleh digunakan sendiri.


Kisah-6
Cikgu Imran telah mendapat arahan pertukaran sekolah dari Sabak Bernam ke Sandakan. Bila menerima surat tersebut hatinya agak gembira kerana ingin memberi khidmat di kawasan pedalaman. Baginya tidak ada masalah sebab masih bujang, dan teringin sangat hendak ke Sabah. Dia solat Istikharah walaupun keputusan telah ditetapkan oleh kementerian kepadanya. Dia berdoa “Ya Allah kalau pemergian aku ke Sandakan ini baik untukku dan agamaku maka permudahkanlah jika tidak kau gantikanlah dengan yang lebih baik dan sempurna”. Selang dua minggu Pengetua disekolahnya memberitahu kepadanya pertukaran dia ke Sabah di tarik balik disebabkan masalah teknikal. Dia rasa agak pelik namun tidak kecewa malah tetap gembira kerana telah melakukan solat istikharah. Dia yakin ini yang terbaik di pilih oleh Allah untuknya. Selang sebulan dia bertemu Jodoh dengan Ustazah (al-Hafizah) yang baru berpindah di taman tempat dia tinggal.

Semua kisah yang dipaparkan di atas adalah kisah benar yang boleh kita ambil iktibar dan pengajaran. Yang pastinya kita tidak akan rugi di dunia dan akhirat bila beramal dengan Solat Istikharah ini.

Dewasa ini ramai di kalangan kita hendak membeli rumah yang berharga lebih RM200,000. Bayaran balik mungkin mengambil masa selama 20 hingga 25 tahun. Dalam tempoh tersebut macam-macam perkara boleh terjadi. Jika sekiranya kita melakukan Solat Istikharah sebelum membeli rumah tersebut, pasti Allah akan mendorongkan kita membuat pilihan yang tepat dan memudahkan segala urusan. Penulis ada bertemu dengan beberapa sahabat yang melakukan Solat Istikharah sebelum membeli rumah, Alhamdulillah segala urusan menjadi mudah dan dapat membayar balik hutang rumah lebih awal daripada yang dijangkakan.

Seperkara lagi, supaya Allah SWT memakbulkan doa kita, jauhilah segala bentuk pinjaman yang ada unsur-unsur riba’ seperti dari sistem konvensional. Pilihlah sistem perbankan Islam semoga Allah memberikan keberkatan dan menurunkan rahmatnya sepanjang tempoh pinjaman di buat. Yakin dan percayalah jika kita mengikut suruhan Allah, pasti Allah akan membantu kita di ketika senang dan susah. Jika Allah bantu kita tiada sesiapa yang boleh menghalangnya.

Mengikut beberapa buah kitab seperti Kitab Minyatul Musolli, Sabilal Muhtadin dan Sairus Salikin, secara ringkasnya cara melakukan Solat Istikharah adalah seperti berikut;

Waktu yang terbaik ialah pada 2/3 malam (iaitu sekitar pukul 2 pagi). Bagaimana pun boleh dilakukan pada bila-bila masa dalam waktu yang di haruskan sembahyang contohnya selepas maghrib.

Niatnya “Sahaja aku sembahyang sunat istikharah dua rakaat kerana Allah ta’ala”

Dalam rakaat pertama selepas Surah Al-Fatihah baca Surah Al-Kafirun atau apa-apa sahaja surah lain yang terbaik kita boleh baca.

Dalam rakaat kedua selepas Surah Al-Fatihah baca Surah Al-Ikhlas atau apa-apa sahaja surah lain yang terbaik kita boleh baca.

Selepas memberi salam baca doa berikut (mulakan dengan basmalah dan selawat dahulu)

Terjemahan Doa':

Ya Allah! Aku mohon pemilihan Mu menerusi pengetahuan Mu dan aku mohon kekuatan Mu menerusi kudrat Mu serta aku minta pada Mu sebahagian dari limpah kurnia Mu yang sangat besar. Sesungguhnya Engkau amat berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa, Engkau amat mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan sesungguhnya Engkau amat mengetahui segala yang ghaib. Ya Allah kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini (…sebutkan hajat..) adalah baik bagiku dalam urusan agama ku juga dalam urusan penghidupan ku serta natijah pada urusan ku, kini dan akan datang, maka tetapkan lah ia bagi ku dan permudahkanlah ia untukku, serta berkatilah daku padanya. Dan kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini (…sebutkan hajat..) membawa kejahatan kepadaku dalam urusan agamaku, juga dalam urusan penghidupanku dan natijah urusanku, kini dan akan datang, maka elakkanlah ia dariku dan tetapkanlah kebaikan untukku sebagaimana sepatutnya, kemudian jadikanlah daku meredhainya. (Dari hadis riwayat Imam Bukhari)

Semoga artikel pendek ini memberi manfaat kepada kita semua

Wallah hu ‘alam

Sumber : Darussyifa'

2/5/11

Rahsia Penciptaan Buah Delima


Di dalam al Quran, terakam indah firman Allah SWT yang bermaksud, "Di dalam kedua-duanya (syurga) juga terdapat buah-buahan serta pohon kurma dan delima." (Surah al-Rahman ayat 68)

Allah menyebut buah delima (rumman) sebanyak 3 kali di dalam ayat-Nya untuk menunjukkan betapa hebatnya penciptaan Allah itu dan ia juga disebut sebagai buahan daripada syurga. Mengapa begitu sekali pengiktirafan Allah terhadap buah delima sebagai anugerah kepada makhlukNya di muka bumi? Apakah keistimewaan di sebalik sebiji buah delima?

Jika ditinjau, delima yang berasal dari negara Iran dikenali sebagai pinica granatum dalam istilah botani juga didapati di India, Afghanistan dan Syria. Pada zaman Nabi Musa a.s. lagi, buah delima yang bermutu sudah ditanam di Palestin dan Lebanon. Buah delima menjadi simbol kesuburan bagi perkahwinan masyarakat di Timur Tengah.

Manakala dalam agama Kristian, buah delima menjadi simbol kebangkitan semula dan kehidupan yang kekal serta dalam agama Buddha, buah delima dikatakan buah yang berkat selain daripada buah limau dan pic. Di China pula, buah delima menjadi satu simbol kesuburan, rezeki yang melimpah ruah, keturunan yang ramai dan masa depan yang diberkati.



Namun, dalam Islam, buah delima merupakan salah satu buah yang terdapat di dalam syurga yang dikurniakan Allah sebagai rezeki yang boleh dinikmati oleh umat manusia yang menunjukkan tanda- tanda kekuasaan-Nya sebagaimana yang termaktub dalam firman-Nya di dalam surah al An'am ayat 99 dan ayat 141.

Al Ghazali mengajak manusia agar merenung tentang penciptaan buah delima sebagai tanda kehebatan Allah di mana ia terbentuk seperti kantung-kantung kecil yang segar, dengan bahagian bawahnya besar dan bahagian atasnya tipis yang kelihatan seperti bukit. Kemasan yang tersusun rapi biji buah tersebut seakan disusun oleh manusia serta dibalut dengan kulit yang tipis seperti tenunan halus dan akhirnya ia dibalut dengan kulit yang tebal mengelilingi buah delima tersebut.

Hikmah penciptaan buah delima dengan percaturan yang sebegitu rupa mempunyai nilai kehebatan tersendiri. Seandainya ia tidak dilapisi dengan lapisan yang halus itu, sudah tentu sari makanan tidak dapat sampai kepada biji buah delima tersebut. Dengan mendapat sari makanan itulah, buah delima mempunyai rasa manis tetapi akarnya sendiri mempunyai rasa yang amat pahit.

Lapisan yang membahagi ruang biji buah delima berfungsi untuk memelihara buahnya dan seluruh biji buah tersebut dilitupi dengan kulit yang keras tetapi rasanya agak pahit adalah untuk menjaganya bebas daripada segala hama. Sorotan tentang kejadian ini menunjukkan kepada kita betapa setiap kejadian yang Allah ciptakan mempunyai keistimewaan tersendiri.



Dari sudut pemakanan, buah delima amat kaya dengan sodium dan mengandungi unsur-unsur nutrien seperti riboflavin, tiamin, niasin, vitamin C, kalsium dan fosforus. Manakala zat protein dan lemak hanyalah sedikit sahaja terkandung di dalamnya. Oleh sebab ia mempunyai nilai pemakanan yang baik, buah delima juga disarankan dimakan dalam mengimbangi pemakanan sempurna dari kelas buah-buahan.

Ternyata buah delima mempunyai banyak manfaat untuk manusia sama ada sebagai buah-buahan mahupun dijadikan sebagai ubat penawar. Menurut Ibn Qayyim Al Jauziyah, buah delima bersifat panas dan lembap, oleh sebab itu ia amat baik untuk menguatkan perut, tekak, dada dan paru- paru kerana ia akan melegakan batuk. Sepertimana sabda daripada Nabi Muhammad SAW daripada Ali dan Abu Nu'aim yang bermaksud: "Buah delima dan kulitnya dapat menguatkan perut untuk penghadaman."

Jus buah delima dapat memberikan zat kepada tubuh badan serta menyegarkan badan dan ia dapat dihadam dengan cepat kerana sifatnya yang ringan dan akan mengeluarkan haba bersama dengan angin di dalam perut. Oleh sebab itu buah delima tidak disarankan kepada mereka yang menghidap demam. Ia juga bertindak sebagai penawar yang baik untuk cirit birit, anemia, tekanan darah tinggi dan atritis.

Di samping itu, buah delima dapat menguatkan jantung dan membantu dalam fungsi saraf dan otot. Oleh kerana itulah, ia mampu menghilangkan rasa keletihan. Di dalam perubatan homeopati pula, buah delima disarankan untuk mengubat cirit birit, sakit telinga dan kurang lawas penghadaman.

Tidak dapat dinafikan bahawa terdapat bukti yang menyatakan bahagian pokok delima banyak kegunaan dan faedahnya. Dan ini telah diakui dalam perubatan Melayu seperti ramuan jamu daripada pokok delima sebagai ubat cacing. Ramuan ini sebenarnya sudah lama diamalkan oleh masyarakat tradisional Melayu. Cuma yang mungkin, ilmu perubatan Melayu tradisional ini tidak terus diamalkan dan tidak langsung sampai kepada generasi baru sekarang dan ia seolah-olah dibiarkan begitu sahaja.

Bahagian kulit buah delima pula mengandungi sejenis alkaloid yang boleh mengawal beberapa cenis cacing seperti cacing pita yang mendiami perut manusia. Rasanya yang pahit tidak sesuai untuk dimakan tidak seperti bijinya yang manis, tetapi manfaat daripada rasa pahit tersebut ialah dapat menghapuskan cacing pita dalam perut manusia.

Kulitnya yang tebal pula bertanggungjawab melindungi buah delima supaya dapat disimpan dengan mutu yang baik. Jika diselusuri faedah dan kepentingan kulit serta batang buah delima, ia dapat digunakan untuk melembut dan menguningkan kulit lembu dan kambing dalam industri barangan kulit di Morocco dan Syria. Ini kerana kulitnya mengandungi punicotannic acid yang agak tinggi iaitu sebanyak 22%. Manakala bunga buah delima pula mempunyai nilai yang amat tinggi dalam tujuan perubatan kerana ia dapat mengubati pelbagai jenis penyakit.

Justeru, kemanfaatan buah delima tidak dapat disangkal lagi kerana ia bukanlah hanya sekadar sebiji buah yang mengandungi banyak khasiat untuk dimakan tetapi keseluruhan penciptaan pokok buah delima memberi manfaat kepada umat manusia. Sekaligus ia menggambarkan kepada kita, betapa hebatnya kuasa Allah Taala.

Renungkanlah dan perhatikanlah, bagaimana dahan tempat buah delima tergantung yang diciptakan-Nya dengan rapi dan kuat serta tidak gugur buahnya sebelum sampai waktunya. Ini menunjukkan betapa setiap kejadian yang Allah cipta mempunyai rahsia dan keistimewaan tersendiri agar manusia mendapat manfaat dan menilai kurniaan tersebut.

Semoga bermanafaat!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...